MESIN RUMPUT BUGGY BUATAN TANGAN

BESERI - Tiada kelayakan akademik yang tinggi bukan bermakna seseorang itu tidak mampu menghasilkan ciptaan yang hebat.
Apa yang penting adalah keyakinan diri selain mempunyai daya kreativiti yang tinggi.
Itulah yang dibuktikan oleh seorang tukang rumah yang mampu mencipta mesin rumput sendiri menggunakan besi terbuang dan juga enjin pam air.
Azizan Rozali, 29, berkata, kebolehannya ini datang dari dalam diri dan minat yang mendalam dalam pembuatan buggy.
"Sebenarnya ia bermula pada tahun 2003. Saya pernah mencipta buggy saja-saja untuk seronok. Waktu petang saya pandu buggy sambil keliling kampung. Seronok sangat sebab boleh rasa angin petang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Merah di sini.
Menurut Azizan yang lebih dikenali sebagai Pak Dan oleh penduduk kampung, ketika itu dia mempunyai empat buah buggy dan turut dipinjamkan kepada rakan-rakan untuk meronda sekitar kampung.
“Suatu hari, ada kawan minta saya buat mesin yang bentuknya lebih kurang buggy untuk kegunaan ladang harum manisnya.
“Saya pun cuba tunaikan permintaannya dan Alhamdulillah menjadi dan berfungsi dengan baik. Buktinya mesin tersebut mampu memotong rumput di ladang harum manis berkeluasan satu hektar,” katanya.
Tambahnya, ramai yang hairan dengan kebolehannya itu kerana dia tidak belajar tinggi dan buta IT.
"Telefon pun pakai yang biasa-biasa saja. Nak belajar dari Youtube lagilah tak pandai. Saya cuma cuba-cuba saja banyak kali. Cuba buat sampai jadi, tak pernah putus asa. Lama-lama saya belajar dari kesilapan yang pernah saya buat," katanya yang merupakan bapa kepada dua cahaya mata berusia setahun dan lima tahun.

Mahu mesin rumput dikomersialkan
Menurut Azizan, keistimewaan mesin rumput ciptaannya ini ia boleh dipandu seperti kereta biasa kerana fungsinya yang ada clutch, gear dan pedal minyak.
"Istimewanya mesin ini adalah pengguna tidak lagi perlu menggalas mesin berkenaan, hanya pandu dan sandar di tempat duduk. Ia sangat selesa dan mesra pengguna,” katanya.
Tambahnya, dia memerlukan dua minggu sahaja untuk menghasilkan mesin rumput tersebut.
“Sekarang ini saya mempunyai empat buggy dan dua mesin rumput," katanya.
Ditanya berkaitan kos untuk menghasilkan mesin rumput berkenaan, Azizan berkata, dia memperuntukkan RM3,800  seunit.
Katanya, dia amat berharap yang suatu hari nanti mesin rumput ciptaannya mampu dikomersialkan.
“Untuk permulaan, saya akan jual dengan harga RM4,000 untuk sebuah mesin rumput.
“Saya ambil untung RM200 sahaja.  Cukuplah, janji dapat bantu orang ramai mudahkan kerja mereka,” katanya.

KASANOVA LEBAI MENGAKU SALAH

Kuala Lumpur: Lelaki yang digelar ‘Ustaz Kasanova’ mengaku bersalah masing-masing di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini terhadap enam pertuduhan termasuk melakukan persetubuhan luar nikah, percubaan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.
Mohd Razis Ismail, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz dan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman.
Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
Manakala bagi pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah, lelaki itu didakwa masing-masing mengikut Seksyen 133 dan Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/119069#sthash.AOfmLsw9.dpuf

CUBA BAWA MASUK MERCUN KE STADIUM LELAKI DITAHAN

Alor Setar: Seorang lelaki ditahan kerana membawa mercun ketika memasuki Stadium Darul Aman, di sini, pada perlawanan bola sepak Liga Super Kedah menentang Kelantan, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan pada 8.15 malam ketika melalui pemeriksaan di Pintu T6 Stadium Darul Aman.
"Pemeriksaan dalam beg sandang warna coklat milik suspek menjumpai lima butir mercun bola dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.
Katanya, soal siasat dijalankan suspek mengaku bekerja sebagai pengendali mesin padi dan berasal dari Kampung Alor Besar, Mukim Bukit Raya Pendang.
“Ujian air kencing dijalankan mendapati suspek bebas pengaruh dadah," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.